Sunday, April 26, 2009

Undang-undang Syariah yang mereka remehkan

Keputusan Jemaah Menteri Meminggir Perlembagaan Persekutuan dan Hukum Syarak
Zainul Rijal Abu Bakar
Setiausaha Agong, Peguam Pembela Islam

Masyarakat Islam arus perdana amat terkejut dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz bahawa Jemaah Menteri telah bersetuju memutuskan kanak-kanak mesti kekal menganut agama asal ketika ibubapanya berkahwin walaupun salah seorang pasangan itu menukar agama. Keputusan yang dibuat oleh jemaah menteri dikatakan sebagai langkah penyelesaian jangka panjang berhubung isu pertikaian status agama kanak-kanak berkenaan apabila ibu atau bapa mereka menukar agama.
Keputusan Jemaah Menteri ini sangatlah dikesali. Manifestasi kekesalan ini dizahirkan apabila lebih seratus NGO Islam berkumpul menyatakan bantahan mereka semalam (Jumaat). Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) juga melalui Timbalan Presidennya Musa Awang telah mengeluarkan kenyataan membantah keputusan tersebut. PGSM adalah NGO pertama yang menyuarakan kekesalan mereka.
Bagi memahami implikasi keputusan jemaah menteri ini beberapa perkara perlu diperincikan terlebih dahulu terutamanya kedudukan perlembagaan, undang-undang dan hukum syarak. Sebenarnya terdapat tiga perkara utama yang terkesan daripada keputusan ini iaitu berkaitan dengan pembubaran perkahwinan, agama anak dan pemeliharaan anak.

Pembubaran Perkahwinan
Di dalam perkahwinan sivil yang didaftarkan melalui Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 pembubaran perkahwinan hanya boleh berlaku jika perkahwinan itu telah pecahbelah dan tidak dapat diselamatkan lagi. Perkara ini termaktub di dalam seksyen 52 Akta tersebut. Seksyen 51 Akta yang sama pula menjelaskan jika salah seorang pasangan itu memeluk Islam pasangan yang tidak memeluk Islam itu boleh memfailkan petisyen pembubaran perkahwinan menurut seksyen berkenaan selepas tiga bulan pasangannya memeluk Islam. Ini bermakna petisyen perceraian atas alasan pemelukan agama Islam hanya boleh difailkan oleh pasangan yang tidak memeluk agama Islam sahaja. Selagi dia tidak memfailkan petisyen perceraian tersebut perkahwinan sivilnya bersama pasangan yang telah memeluk Islam tetap dianggap sah di bawah akta tersebut.
Jelaslah di sini ketidakadilan yang amat sangat berlaku kepada pasangan yang memeluk Islam itu memandangkan beliau langsung tidak mempunyai locus standi untuk memfailkan petisyen perceraian berdasarkan seksyen tersebut.
Namun mahkamah syariah menurut Jadual Kesembilan Senarai 2 Butiran I Perlembagaan Persekutuan, boleh membuat penentuan sesuatu perkara mengenai hukum dan doktrin syarak. Seksyen 46(2) Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 menepati semangat Perlembagaan Persekutuan ini dengan memberi kuasa kepada mahkamah syariah membuat penentuan mengikut hukum syarak apakah kedudukan perkahwinan tersebut.

Seksyen 46(2) tersebut memperuntukkan jika salah satu pihak kepada sesuatu perkahwinan bukan Islam memeluk Islam, maka perbuatan yang demikian tidak boleh dengan sendirinya berkuatkuasa membubarkan perkahwinan itu melainkan dan sehingga disahkan oleh Mahkamah. (Mahkamah di sini bermaksud mahkamah syariah).
Seolah-olah terdapat polemik di sini di mana kedua-dua mahkamah mempunyai bidangkuasa. Oleh yang demikian terdapatlah cadangan seksyen di atas ditiadakan bagi menyeleasikan kemelut ini. Tetapi sebenarnya bukan hanya seksyen tersebut sahaja perlu dipinda malah seksyen yang sama di negeri-negeri lain juga perlu dipinda dan mendapat pekenan Raja-Raja Melayu. Ia mungkin jalan yang tidak mudah digapai.
Sebenarnya tatkala seseorang itu telah memeluk Islam sudah pasti Perlembagaan Persekutuan memberi jaminan kepada mualaf itu mengamalkan agamanya termasuklah undang-undang diri seperti munakahat. Mengheret mualaf ini ke mahkamah sivil merupakan pelanggaran hak kebebasan beragama bagi mualaf ini. Seorang yang sudah mendapat hidaya daripada Allah sudah tentu tidak mahu balik ke zaman jahiliyahnya kembali. Inilah hak yang perlu dipertahan oleh kerajaan dan bukan merobek hak ini atas alasan yang picisan yang tidak selaras dengan Perlembagaan.

Membawa orang bukan Islam ke mahkamah syariah pula bukanlah suatu perkara yang mudah kerana kebiasaannya orang bukan Islam enggan hadir ke mahkamah syariah atas alasan tidak mahu tertakluk kepada undang-undang Islam. Namun sebenarnya apa yang diputuskan oleh mahkamah syariah hanyalah membuat perisytiharan di sisi hukum syarak apakah kedudukan perkahwinan tersebut sahaja. Amatlah tidak wajar mualaf ini dinafikan hak ini. Hakikatnya ialah sebahagian orang bukan Islam tidak mengiktiraf langsung keujudan mahkamah syariah ini. Mereka tidak mahu membantu mahkamah syariah memberi keputusan yang adil. Mereka sanggup memberi keterangan di medan media tetapi tidak di mahkamah syariah. Mahkamah Syariah adalah sebahagian dari system perundangan negara yang sah. Tidak ada seorangpun boleh memperlekehkan mahkamah syariah.

Agama Anak
Perkara 12(3) Perlembagaan Persekutuan menyatakan tiada seorangpun boleh dikehendaki menerima ajaran sesuatu agama atau mengambil bahagian dalam apa-apa upacara atau upacara sembahyang sesuatu agama, selain agamanya sendiri. Perkara 12(4) pula menegaskan bagi maksud Perkara 12(3) di atas, agama bagi seseorang yang di bawah umur lapan belas tahun hendaklah ditetapkan oleh ibu atau bapanya atau penjaganya.
Perkara 12(4) ini telah ditafsirkan oleh penghakiman mahkamah tertinggi negara iaitu Mahkamah Persekutuan di dalam kes Subahsini mlwn Saravanan di mana mahkamah tersebut telah memutuskan bahawa salah seorang (bukan kedua) ibu bapa boleh menentukan keIslaman anak tersebut.
Peruntukan Perkara 12(4) dan juga tafsiran yang dibuat oleh Mahkamah Persekutuan tersebut sebenarnya selaras dengan Hukum Syarak. Sebenarnya telah disepakati di kalangan ulama’ bahawa apabila salah seorang ibubapa bukan Islam memeluk Islam, anak di bawah umur mereka itu disifatkan sebagai Islam. Ini adalah kerana anak yang dilahirkan itu adalah fitrah, dan fitrah di sini bermaksud Islam.
Undang-Undang Syariah ditegakkan berasaskan kepada al maqasid al syariah. Terdapat lima al maqasid al syariah (objektif syariah) iaitu menjaga agama (hifz al din), nyawa (hifz al nafs), keturunan (hifz an nasab), akal (hifz al aql) dan harta (hifz al mal).
Bagi mencapai maqasid ini umat Islam dipertanggungjawabk an memelihara kelima-lima perkara ini termasuklah menjaga agama dan keturunan. Oleh yang demikian agama anak itu hendaklah mengikut mana-mana ibubapa yang Islam. Umat Islam tidak dapat menerima sekiranya al maqasid al syariah ini tidak dapat dicapai.
Alasan Nazri agar mengikut ‘common sense’ adalah telalu dangkal. Dalam undang-undang kita tidak boleh menggunakan ‘common sense’. Ada asas dan falsafah yang perlu ditafsirkan dan dihayati. Sebagai perbandingannya jika kita menggunakan common sense tersebut, adalah kita boleh dianggap tidak melakukan kesalahan trafik apabila melanggar lampu isyarat merah tatkala tiada kenderaan yang melintasi di hadapan kita? Secara common sense nya sudah tentu kita tak bersalah tetapi undang-undang mempunyai falsafahnya tersendiri bagi mengawal kemaslahatan sejagat. Apatah lagi ‘common sense’ beliau itu melanggar hukum syarak pula.
Keputusan jemaah menteri tidak boleh mengatasi peruntukan Perkara 12(4) dan tafsiran yang dibuat dalam kes Subahsini. Jemaah menteri juga sebagai badan eksekutif tidak boleh mencampuri urusan kehakiman (samada sivil ataupun syariah) apatah lagi menganggu keputusan mahkamah dengan mengeluarkan kenyataan bertentangan dengan keputusan mahkamah. Seharusnya segala ruang yang dibenarkan oleh undang-undang diambil bagi menangani permaslahan ini dan bukan melalui campurtangan eksekutif yang secara langsung merujuk kepada kes Muhammad Ridzuan tersebut.

Pemeliharaan Anak
Mengenai pemeliharaan anak pula. Sudah menjadi amalan di mahkamah syariah dan mahkamah sivil bahawa kebajikan anak mengatasi hak ibu atau bapa. Di dalam memutuskan hak jagaan anak sudah tentulah faktor mengenai kebajikan anak ini di titikberatkan. Kebajikan anak ini termasuklah permasalahan aqidah, tumbesaran dan pembelajaran anak tersebut. Perkara sebegini boleh diputuskan oleh Mahkamah. Hak memelihara anak ini biasanya diputuskan setelah mengambil kira keperluan dan kebajikan anak.

Namun apa yang berlaku ialah masyarakat bukan Islam atas sebab-sebab tertentu terlalu takutkan mahkamah syariah dan menganggap mahkamah syariah hanya mempertahankan hak orang Islam sahaja. Sudah dibuktikan di dalam beberapa kes di mahkamah syariah, keputusan yang dikeluarkan oleh Hakim Syarie tidak memihak kepada orang Islam tetapi memihak kepada keadilan.

Berbalik kepada keputusan jemaah menteri di atas, amat jelas keputusan tersebut gagal mempertahankan kelebihan agama Islam sebagai agama Persekutuan. Keputusan tersebut menyamatarafkan Islam dengan agama-agama lain dan perkara ini tidak dapat diterima oleh masyarakat Islam arusperdana.

NGO-NGO Islam juga mempersoalkan keputusan Jemaah Menteri yang dibuat itu langsung tidak mengambilkira pandangan NGO-NGO Islam. Dalam masa yang sama pula pihak kerajaan termasuk Timbalan Perdana Menteri telah berjumpa dengan NGO bukan Islam mengenai kes yang tersebut di atas. Tiada usaha untuk mendapatkan pandangan NGO Islam dilakukan bagi mendapat pandangan mereka sebelum keputusan dibuat.

Malah ada beberapa NGO Islam cuba untuk bertemu dengan pimpinan kerajaan tetapi tidak dapat direalisasikan. Seharusnya pihak kerajaan lebih peka dengan sensitiviti umat Islam khususnya masyarakat saudara baru. Suara mereka harus didengar terlebih dahulu sebelum sebarang keputusan yang membabitkan mereka dibuat. Hak mereka untuk didengar (audi alteram partem) oleh pimpinan kerajaan sudah tiada lagi. Di manakah audi alteram partem itu?
Pihak Kerajaan perlu lebih berhati-hati di masa akan datang dalam membuat keputusan berkaitan Islam. Jangan mendahului para ilmuan Islam dan ulama.. Pandangan NGO Islam juga mestilah diambilkira. NGO-NGO Islam telah menzahirkan kegusaran mereka berhubung dengan keputusan jemaah menteri tersebut, sudah sewajarnyalah keputusan tersebut ditarik balik.