Monday, April 4, 2011

Untuk kedua Syurgaku

My beloved Mak dan Baba

Bismillahi wal hamdalillah Firstly,

I’m very sorry if my entry today seems quite personal. I didn’t mean to story about my life in this blog. But today, I can’t keep it to myself. Besides, I know, this blog doesn’t famous at all. I’m glad:). This is an open diary to my children if I have one in the future. Perhaps they can learn something and appreciate it. It is a story about my Mother and Father; My beloved Mak & Baba.


04/04/2011.

Harini MakBaba telah bertolak menunaikan umrah di Rumah Allah, Makkah Mukarramah. Saya pula sedang menghadapi peperiksaan akhir di sini. Sedih terasa begitu menusuk hati kerana tidak dapat menghantar mereka ke sana. Hanya doa saya mengiringi pemergian mereka. Saya mungkin bukanlah seorang anak yang sempurna. Mungkin ada saja salah dan silap pada MakBaba sepanjang kehidupan ini. Namun Alhamdulillah, diantara nikmat yang sangat saya syukuri setelah Iman dan Islam ialah mempunyai ibu bapa seperti mak dan baba. Semua orang akan mengatakan ibubapa mereka adalah yang terbaik sepanjang zaman, begitu juga saya.


Bila saya semakin membesar, saya semakin banyak belajar dan memahami nilai pada seorang ibu dan seorang bapa. Saya semakin nampak betapa besarnya pengorbanan mereka dalam kehidupan saya. Betapa tingginya darjat mereka di sisi tuhan. Diantaranya ialah significance dalam doa yang sangat masyhur “Allahummaghfirlana Zunubana Waliwalidayya Warhamhuma kama Rabbayana Soghiro”. (Ya Allah, ampunilah dosaku dan dosa kedua ibubapaku. Rahmatilah mereka sebagaimana mereka menyayangiku ketika kecil)


Doa yang wajib kita baca setiap hari. Doa ini Allah letakkan di dalam Al-Quran menandakan besarnya hikmah dan darjat doa ini. Kini, saya mengetahui apakah hikmah itu. MAAF. Satu sifat yang sangat ringkas disebut tapi sangat susah pada perbuatan. Allah itu Maha Pengampun. DIA lah tuhan sekelian alam. Sebesar mana dosa yang kita lakukan, biar setinggi gunung atau seluas lautan, jika kita bertubat dengan sebenar-benar Taubat, Allah pasti akan mengampunkan.


“Katakanlah: “Hai hamba-hambaKu yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa-dosa semuanya. Sesungguhnya Dia-lah yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” Az Zumar:53


Golongan kedua yang akan memaafkan kita ialah, IBUBAPA. Saya pernah terbaca di dalam suratkhabar, seorang ibu memaafkan anaknya walaupun anaknya telah membunuh suaminya didepan matanya sendiri! Allahu Akbar. Sebesar mana kesalahan yang kita buat pada mereka, ibubapa yang baik pasti akan memaafkan kita kecuali dosa kita pada pada tuhan. Oleh kerana itulah, Allah meletakkan doa untuk Ibubapa setelah kita meminta ampun untuk diri sendiri.


Rasullullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda: "Keredhaan Allah terletak pada keredhaan ibubapa manakala kemurkaan Allah terletak pada kemurkaan ibubapa”


Hadis ini membenarkan apa yang disebut sebelum ini, bahawa hubungan seorang anak dengan ibubapanya memiliki kaitan dengan hubungannya kepada Allah. Jika seorang anak berbuat baik kepada kedua ibubapanya sehingga mereka redha kepadanya, maka Allah juga redha kepada anak tersebut. Akan tetapi jika seorang anak tidak berbuat baik sehingga menimbulkan kemurkaan ibubapanya, maka Allah juga murka kepadanya. Walaubagaimanapun hendaklah diperhatikan bahawa apa yang meredhakan ibubapa tidak mengakibatkan kemurkaan Allah. Maksud saya, jangan melakukan sesuatu yang merupakan maksiat kepada Allah dalam rangka berbuat baik kepada ibubapa

Cintaku tumpah pada Mak dan Baba

Ini pula kisah saya dan Ibu Bapa saya. Separuh dari kehidupan saya telah dihabiskan di Asrama. Belajar mengenal Tuhan, belajar mengenal ilmu dan belajar mengenal dunia. Tetapi madrasah pertama saya adalah Rumah saya. Saya bukanlah dilahirkan di dalam keluarga kaya raya. Mak dan Baba bukanlah orang yang begitu berharta dan tidaklah belajar hingga ke universiti. Hidup sederhana pada harta. Tapi Alhamdulillah, Mak dan Baba orang yang berilmu dan beragama. Dengan ilmu dan agama mereka membesarkan anak-anak. Biarpun bukanlah kami semua berjaya ke universiti, bekerja besar tapi semua berjaya menjadi manusia. Berkeluarga ramai memang sangat mencabar. Makan, pakai, pelajaran, keperluan dan segala macam perlu disediakan.



Mak


Saya masih ingat ketika saya hendak ke Syria dulu. Ketika saya menyuarakan hasrat ke sana, mak hanya diam. Dia kurang bersetuju kerana masalah kewangan. Tambahan pula, ianya terlalu singkat kerana kawan saya menarik diri saat akhir. Dan saya diajak menggantikannya. Hanya Baba yang menyokong saya. Saya juga berbelah bahagi. Dulu ketika habis SPM saya mahu meyambung pelajaran ke Al-Azhar. Tetapi kerana mengikut kata mak, saya dengan berat hati melupakan hasrat itu. Saya ada menyuarakan pada mak. Semacam memberontak. Sungguh naïf saya waktu itu. Rupanya dalam diam emak telah mengeluarkan separuh duitnya untuk ke Umrah waktu itu untuk saya. Mak tidak jadi ke Umrah waktu itu. Haru. Saya jadi serba salah. Saya menangis dan memohon maaf pada mak. Mak juga memberi cukup kepercayaan pada saya untuk pergi bersama kawan-kawan yang semuanya perempuan walaupun saya ini ke Kelantan pun tidak pernah sampai. Disana, saya melalui pengalaman yang sukar diceritakan. Ditipu, ditipu dan ditipu oleh orang yang membawa kami. Saya terpaksa balik awal kerana tidak mampu menambah duit lagi untuk membeli tiket baru. Oleh kerana perlu balik awal, saya tidak berjalan ke mana2. Setiap hari menghabiskan bacaan Al-Quran dengan Anisah. Dengan harapan untuk menuntut ilmu dan tidak mahu menghampakan harapan MakBaba balik dengan tangan kosong. Walaupun hati cemburu melihat kawan-kawan berjalan sana sini. Alhamdulillah, pagi sebelum saya pulang, saya telah mendapat Ijazah Sanad Quran. Untuk Mak dan Baba. Moga saya menjadi saham yang baik untuk mereka ke Syurga nanti.


Bagaimana lagi mahu saya ceritakan tentang mak. Seorang wanita yang kecil. Paginya mengajar di sekolah. Sekolah Agama Rakyat yang gajinya sangat kecil. Mak saya pejuang sekolah Agama Rakyat. Petang dan malamnya menoreh getah, membuat bendang, menjahit baju hingga kini mengalami sakit lutut yang agak teruk. Mak membuat semua benda walau fizikalnya kecil. Bagaimana malam-malam menemani kami belajar hingga tengah malam. Pagi kami ke sekolah tidak pernah perut kosong. Makanan didalam mulut sanggup diluahnya jika kami mahukan. Mak seorang yang agak outspoken. Maklumlah seorang ustazah. Tapi hatinya sangat lembut dan mudah menangis. Dia seorang yang independent, cergas dan berjiwa kental. Dialah pembantu Baba, isteri, bendahari, kawan menoreh Baba dan segalanya. Dengan saya lagilah. Segala barangnya yang saya suka akan diberi. Mujurlah saya bukan jenis yang suka ‘pau’ mak sendiri. Mak tidak pernah berkira dengan anak. Sangat banyak kisah saya dengan mak….


Baba


Lelaki ini sangat hebat! Lelaki terbaik pernah saya jumpa sepanjang saya membesar. Kisah hidup Baba sangat panjang. Lahir sebagai anak tunggal, dia melalui hidup dengan susah payah. Dan kini zuriatnya berkembang pesat. Baba seorang ustaz di pejabat Agama. Sikapnya yang ramah membuatkannya dia disukai orang dan mungkin ada yang tidak suka. Kisah hidupnya sangat panjang hingga tidak sanggup ditulis disini. Baba sangat sabar orangnya. Baba sangat baik dengan anak-anak. Dengan ahlinya. Apa yang kami mahu pasti akan dapat. Baba juga sangat boros dengan kami. Saya lah yang selalu menyuruh beli itu dan ini. Hingga kini Baba masih membeli cekak dan ikat rambut untuk saya dan kakak-kakak tanpa kami minta. Dan baru-baru ini Baba telah membeli Majalah Wanita untuk kami. Hehe. Mungkin melihat anak-anaknya sudah besar dan asyik sembang itu ini. Biarpun kakak-kakak saya semua telah berkahwin, Baba tidak pernah melupakan tanggungjawabnya. Babalah yang akan bangun dahulu menghayun buaian cucunya yang menangis di tengah malam. Babalah yang begitu sibuk ketika anak-anaknya hendak melahirkan. Cucunya mahu bersunat, cucunya mahu masuk sekolah.



Babalah yang menguruskan surau di kampung. Setiap kali Ramadhan babalah Imamnya hingga orang kampung naik lemak. Pernah saya mengajak Baba membuat jahat pergi lambat ke Tarawikh supaya orang lain pula menjadi Imam. Malangnya apabila sampai orang kampung masih melepak ditangga menunggu Baba datang. Setiap tahun saya mendengar Khutbah raya yang dibaca Baba. Baba juga bilal favorite saya. Sikap Baba yang paling saya admire ialah; Baba bukan seorang yang pemarah. Beberapa kali saja dalam hidup ini saya dimarah baba. Dipukul rasanya jarang kecuali ketika kecil-kecil ketika tengah nakal tak ingat dunia. Hingga kini, sayalah anak yang akan menemani Baba ke mana-mana jika balik kampung. Sayalah tukang ikut ke pasar, keluar duit, pejabat agama, pejabat zakat dll yang sesuai saya ikut. Sayalah orang yang tau semua no pin kad bank baba dan jumlahnya:) Almaklumlah semua sudah kahwin tinggal saya dan adik lelaki. Baba sangat menyayangi anak perempuan dan berlaku adil. Nabi saw bersabda:


( سَاوُوا بَين أولادِكُم فِي العَطِيَّة ، فَلو كُنْتُ مُفضِّلاً أحَداً لَفَضَّلتُ النِّسَاء ) . “Samakan pemberian kepada anak-anakmu. Jika aku mau mengutamakan salah seorang dari mereka, aku pasti akan mengutamakan anak perempuan.”

Hakikat

Ketika kali pertama saya mendengar kisah Uwais Al-Qarni, saya menangis hebat. Saya berazam mahu jadi seperti dia. Carilah siapa Uwais, anda akan terpegun. Saya mahu jadi Uwais Al-Qarni pada mak dan seperti Saidatina Fatimah pada Baba.


Sabda Rasulallah “Akan datang kepada kalian Uwais bin ‘Amar bersama pasukan bantuan daripada Yaman. (Dia) daripada Murod, kemudian daripada Qarn. Dia dahulunya memiliki penyakit belang lalu telah sembuh daripadanya kecuali satu bahagian sebesar satu dirham. Dia memiliki seorang ibu yang dia selalu berbakti kepadanya. Seandainya dia bersumpah dengan nama Allah, nescaya Allah akan mengabulkan sumpahnya itu. Jika kamu mampu memintanya memohon ampun untuk kamu, maka lakukanlah.”Berkata ‘Umar: “Mintakanlah ampun untuk aku.”Maka Uwais meminta ampun untuk ‘Umar.


Namun saya tahu, Allah akan sentiasa menguji hambanya. Dan saya sangat takut jika saya kalah diuji. A’uzubillahi min zalik. Saya tahu, Mak dan Baba hanyalah pinjaman Allah. Saya juga adalah pinjaman Allah didunia ini. Bila-bila saya Allah mampu mengambil kembali. Samada saya atau MakBaba yang akan pergi dulu. Dan inilah kenyataan yang paling takut saya hadapi Ya Allah.


Ujian Allah yang kedua pastinya keatas diri saya dan kata-kata saya. Mungkinkah Allah akan menguji saya dengan menjaga MakBaba ketika mereka sudah tua. Mampukah saya menjadi Uwais? Mampukah saya bersabar dengan mereka sebagaimana mereka bersabar dengan saya? ALLAHU RABBI. Saya mohon bantuan dan Kasih sayang Allah.


Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibubapa. Jika salah seorang dari keduanya,atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu,maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan "Uff”, dan janganlah engkau menengking (dan/atau) menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun). [al-Isra 17:23]


Atau mungkinkah saya akan diuji seperti Alqamah setelah saya berkahwin nanti? Sungguh saya sangat takut Ya Allah. “Ya Allah janganlah aku diuji dengan ujian yang tidak mampu aku tanggung”. Saya mendoakan agar Allah mempermudah urusan saya untuk menjadi anak yang soleh kepada ibu bapa atau ibu bapa mertua saya nanti. Moga saya juga dapat menjadi ibu yang baik.


Bagi saya, Mak dan Baba telah melaksanakan tanggungjawab mereka dengan terbaik. Insya Allah, Tidak ada apa yang akan saya tuntut diakhirat nanti. Walaupun kisah ini begitu ringkas, hakikatnya terlalu banyak kesan Mak & Baba dalam kehidupan saya yang tak ternukil di sini. Jika saya ada berbuat dosa, ia bukanlah ajaran MakBaba sebaliknya ianya dari saya sendiri. Semoga Mak dan Baba mendapat umrah yang mabrur, dapat melaksanakan ibadah dengan tenang. Diberi kesihatan yang baik, dipanjangkan umur dalam kebaikan dan dihidup dan dimatikan dalam husnul Khatimah. Sungguh jasamu terlalu banyak, tidak terdaya anakmu ini membalasnya………………………………


“Hak anak ke atas ayahnya ialah memberinya nama yang baik, mengajarnya menulis, mengahwinkannya apabila sudah cukup umur dan mengajarnya al- Quran” (Riwayat Al-Hakin dan Ad-Dailami)

P/s: Moga ceq dapat jadi macam Mak dan Baba. Opsss, satu lagi hak ceq belum tertunai Baba :)


Bil Hubb,

Busyral Huda

050411, 1.00 am