Wednesday, August 20, 2008

PELUKLAH ISLAM DENGAN PELUKKAN YANG KUAT


Sebagai seorang muslim dan pelajar undang-undang, saya merasa begitu tercabar dan sakit apabila isu seperti ini dimainkan dalam keadaan saya tidak mampu berbuat apa-apa. Apa sebenrnya yang kita boleh lakukan? FORUM MEMELUK ISLAM bertajuk “Conversion to Islam: Article 121 (1a) of the Federal Constitution – Subashini and Shamala Revisited” anjuran Majlis Peguam begitu menjentik setiap hati-hati umat islam. Biarpun sudah 2 minggu peristiwa ini berlalu, namun ianya takkan berhenti setakat ini sahaja sehinggalah jalan penyelesaian yang sebenar dapat dicari. Malah sudah ada ura-ura untuk mengadakannya untuk kali kedua. Apapun nilailah isu ini dari pelbagai aspek. Melihat kepada situasi negara sekarang, kekalutan politik menjadi isu utama. Rakyat terus disajikan dengan pelbagai sandiwara-sandiwara percuma oleh pihak-pihak tertentu, sehinggakan rakyat menjadi keliru, tertekan dan akhirnya tidak mampu membuat pertimbangan dengan baik. Maka terjadilah demonstrasi jalanan, protes dan pelbagai lagi medium menyampaikan perasaan. Kekuatan fikiran dan akal menjadi nombor dua selepas kekuatan fizikal dan emosi.

Disebalik semua ini, forum ini dilihat seakan cuba menangguk di air keruh. Dicelah-celah kesibukkan rakyat berdepan dengan pelbagai isu, Majlis Peguam pula mengumumkan untuk menganjurkan forum ini. Diantara objektif utama adalah untuk menyelesaikan masalah yang berlaku dalam system kehakiman apabila melibatkan pertembungan diantara mahkamah civil dan syariah. Dari satu sudut, YA! memang isu ini perlu diselesaikan. Kerana tidak mustahil kes seperti ini akan terjadi di masa hadapan. Jangan biarkan ia sehingga bernanah dan busuk baru sibuk untuk mencari penawarnya. Pihak-pihak berwajib tidak boleh hanya berdiam diri, dan hanya bercakap belakang. Artikel 121 (1a) dalam perlembagaan persekutuan memang jelas menyatakan bahawa mahkamah civil tidak boleh mencampuri urusan mahkamah Syariah. Dan seharusnya bagi kita sebagai muslim perlu mempertahankan hak ini kerana ia sememangnya hak kita. Namun kita juga perlu melihat waqi’ Malaysia sebagai Negara berbilang bangsa dan agama yang memungkinkan terjadinya perkahwinan campur dan pertukaran agama. Islam sendiri sebagai agama keadilan mengajar untuk berlaku adil kepada penganut agama lain tanpa menidakkan keizzahan Islam sebagai agama yang agung. Oleh sebab itu, pihak yang AHLI dalam soal ini perlu mencari jalan penyelesaian agar individu seperti Shubashini dan Sharmala diberikan hak yang sepatutnya. Apakah alternative dari segi undang-undang yang dapat menyelesaikan masalah ini? Jika kes seperti ini tertakluk dibawah mahkamah Syariah, tapi dalam masa yang sama MEREKA tidak tertakluk dibawah jurisdiction mahkamah Syariah kerana bukan Muslim, kemana lagi harus mereka pergi mengadu dan mendapatkan hak mereka??? Oleh sebab itulah mereka membawa kes ini kedalam ruang yang tidak sepatutnya.


Agama Islam dibincangkan oleh yang bukan Islam. Dari satu segi, Forum ini sangat keterlaluan. Tidak sepatutnya hal-hal yang berkaitan Islam dibincangkan secara terbuka tambahan lagi oleh orang bukan Islam. Kita memahami maksud mereka bahawa ianya akan menjadi satu medan perbincangan untuk memberi pencerahan dan pemahaman sekaligus mencari penyelesaian. Tapi jika mereka betul-betul menjaga sensitiviti kaum dan menghormati perbincangan , perlukah menyalurkan ketidakpuasan hati melalui medium terbuka seperti ini? malahan ia mungkin akan menambahkan lagi ketidakpuasan hati dan menambah kekeliruan. Majlis Peguam seakan cuba menjadi Hero, sedangkan sebagai panel yang terdiri dari pengamal undang-undang, mereka seharusnya lebih faham dan tahu jalan yang terbaik. Islam asasnya tidak menghalang sebarang perbincangan mengenai agama, namun tidak pada bertolak-ansur pada tempat yang tidak sepatutnya. Kita juga mengetahui apa yang telah berlaku pada forum KONTRAK SOSIAL dan kumpulan Artikel 11 sebelum ini. Jika mahukan kebebasan mutlak, ini bukan negaranya kerana ianya bercanggah dengan prinsip-prinsip dalam Islam sebagai agama rasmi. Dan mereka tidak boleh menyamakan apa yang berlaku di Malaysia dengan konteks Barat. Kita punya cara tersendiri yang unik dan berbeza dengan Negara Barat. Sungguh-sungguh dalam Negara kita yang berbilang bangsa dan agama ni, segalanya perlu dijaga agar tidak mencetuskan perkara yang tidak diingini.

Secara konklusinya, Majlis Peguam jangan cuba bermain api! Manakala kepada golongan yang ahli dan punya kuasa dalam undang-undang, lakukan sesuatu sebelum rakyat membuat undang-undang sendiri. Kepada mahasiswa, tanggungjawab kitauntuk bersedia dan bangun dari tidur lena!!!. Tiada lagi kemalasan dan ketakutan. Lengkapkan diri dengan ilmu dan pengetahuan yang jelas dalam hal ini. Jika forum ini menggunakan hujah akal sebagai senjata utama, seharusnya kita juga menggunakan senjata yang sama“quwwatul Mantiq”.Tapi sayangnya kita lebih suka menggunakan “mantiqul quwwah” kekuatan fizikal. Menyatakan perasaan dengan kekuatan fizikal bukan dengan kekuatan hujah. Saya tidak menyatakan bahawa yang pergi berdemo itu salah, bahkan itu yang kita mahu. Muslim yang sensitive dan peka terhadap Islam. Ianya lebih baik dari muslim yang tidak tahu lansung dan tidak ambil kisah. Namun alangkah baiknya jika kita turut sama dalam perbincangan, dan mempertahankan pendirian dengan hujah kata-kata. Walaupun secara realitinya masakan orang yang menganjurkan debat akan mengaku kalah secara terang terangan walaupun mereka bersetuju dengan idea kita. Namun dengan cara ini sekurangnya jika mereka tidak bersetuju, penonton dan pendengar akan mendapat kefahaman yang jelas dari perbincangan tersebut. Ia juga menunjukkan bahawa kita bukan sekadar bersandarkan emosi semata, tp bersandarkan juga aqal yang waras. Dan tidak mustahil jika kita berterusan menjawab dengan kekuatan fizikal apabila dicabar dengan kekuatan hujjah, mereka akan melakukan perkara yang sama. Seharusnya tanggunggjawab ini bukan hanya patut dipikul oleh pelajar undang-undang semata tetapi kepada semua mahasiswa. Faham apakah hak-hak kita dalam undang-undang negara kerana negara ini menjadikan undang-undang sbagai raja. Yang pastinya, Islam itu agama yang syumul, murunah dan adil. Pasti ada jalan penyelesaian kepada konflik ini. Lihatlah contoh bagaimana Nabi kita Muhammad S.A.W dalam mengendalikan bumi Madinah. Setiap orang samada Muslim mahupun bukan muslim punya hak masing-masing. Jadi bangun wahai Mahsiswa! Buka mata, buka minda. Peluklah Islam dengan pelukkan yang kuat. Gigitlah ia dengan gigi gerahammu!


* untuk renungan diri sendiri juga

No comments: