Tuesday, February 24, 2009

Bahasa jiwa bangsa


Izinkan aku bercerita di dalam bahasaku
Malam ini dewan Cina itu menjadi Melayu
Kulihat semua saudaraku kelihatan sayu
Bahasa kita sudah tidak laku
PPSMI sudah menjadi Ratu
Mereka-mereka yang berhati batu


Diatas pentas seorang lelaki tua berdiri
Mendeklamasikan sajak penuh tragedi
Kesal punya pemerintah yang lupa diri
Kemudian seorang pejuang bahasa berkata
Bahasa itu jiwa bangsa
Hilang bahasa, hilanglah bangsa
Hingga anak muda mungkin lupa
Bahawa dia sebenarnya punya agama
Giliran ulama berjubah putih pula menasihati
Wahai saudaraku, bahasa itu jatidiri
Adakah kita mahu hilang seperti tulisan jawi?


Mereka kata Melayu mudah lupa
Mereka kata Melayu sudah layu
Mungkin mereka yang sudah lupa
Bahawa bahasa Melayu ini bahasa kita
Hingga sanggup menggadai demi kemajuan entah apa-apa
Adakah dengan dengan cara ini sahaja kita mampu berjaya?
Merekalah yang lupa, merekalah yang layu
Bagi kami, bahasa tetap jiwa bangsa
Memahamkan agama dan mendaulat negara


Busral Huda
Dewan perhimpunan Cina
Himpunan dan ikrar mansuhkan PPSMI
23 February 2009. 12.30 malam

Sunday, February 22, 2009

masa untuk otak lebih laju mencerna



Rabu, 18 Februari, Gombak : Selepas mendapat kelulusan dari Hal Ehwal Pelajar UIAM, Ma'ruf Club UIAM akan menganjurkan satu forum intelektual mengenai senario semasa politik Malaysia pada saat ini. Antara panelis yang dibabitkan adalah tiga tokoh politik dari parti pemerintah dan pembangkang di negeri Selangor serta seorang pakar undang-undang dari UIAM. Saudara Faridzul Nasarudin, Presiden Ma'ruf Club UIAM menyatakan bahawa menjadi hasrat awal di peringkat Ma'ruf Club untuk mempertemukan YB Nizar Jamaludin dan YB Dr Zambry yang kini menjadi icon utama pergolakan politik di Perak, namun hampir pasti usaha kami ke arah itu agak mustahil berikutan ketegangan yang belum mereda antara kedua-dua belah parti pemerintah dan pembangkang tersebut. Berikut adalah maklumat lanjut program. Kesemua mahasiswa,aktivis kampus, dan masyarakat luar dijemput hadir :

Nama Program : Intellectual Dialogue Towards Upholding Ummatic Aspiration : Implication of Current Phenomenon Towards The Future of Malaysia

Tarikh : 24 Februari 2009 (Selasa)

Masa : 8.30 malam

Tempat : Main Auditorium, UIAM

Isu-isu yang akan dibincangkan:

1. Isu Perak dari kacamata perundangan dan perlembagaan

2. Isu moral dan integriti ahli politik di Selangor

3. Kestabilan sosial yang diketepikan

4. Keparahan ekonomi negara pada saat ini

5. Peranan mahasiswa Islam dalam memperjuang nasib ummah pada saat ini
*Semua Dijemput hadir terutama golongan mahasiswa kerana isu ini berkait rapat tentang masa depan mahasiswa sendiri yang mana kita adalah generasi yang akan menentukan masa depan negara.AYUH!!bersama kita memeriahkan forum ni.tolong sebarkan kepada sahabat-sahabat terdekat.

~ Let's Discover the Beauty of Islam ~

Tuesday, February 17, 2009

Isteri perkasa


gambar sekadar hiasan : My bro and my new sister. Mabruk atas gud news;)

Isteri perkasa

Mereka mahukan muslimat perkasa
Yang mampu berdikari
Yang mampu bercakap di tengah demonstrasi
Yang lantang bersuara memberi pandangan
Yang mampu mempertahankan hak dan perjuangan
Cuma dia rasa seperti mahu bertanya


Mahukah mereka pada isteri perkasa?
Acapkali terkena sejuknya angin malam
Kadang- kadang panas terik dan juga hujan
Terpaksa bersaing dengan pelbagai kenderaan
Yang selalu memberi pandangan atau kritikan


Namun dia berserah dan cuba
Untuk tidak ambil kisah
Baginya dia mahu jadi seperti saidatina Fatimah
Kuat hatinya seperti Nusaybah
Penuh keibuan seperti saidatina Khadijah
Cerdik aqalnya sepeti saidatina Aishah
Agung cintanya seperti Rabiatul Adawiyah


Dan dia tak boleh duduk diam di dunia sekarang
Kerna musuh itu sedang menyerang
Sister in Islam, Secularisme, Pluralisme
Jadi dia perlu terus bergerak
Mempertahankan Islam dan kebenaran
Membantu para muslimin di medan juang
Walau kadang dia bertanya
Perlukah sebagai muslimat, isteri, ibu
Untuk terus berdiri di medan perjuangan?


Apapun dia sentiasa katakan pada diri
Bahawa hidup ini hanya untuk tuhan
Manusia itu hanya sandaran
Jadi biarlah tuhan yang menentukan
Cuma dia ada satu soalan untuk para pejuang
Jika mahukan muslimat perkasa,
Bersediakah anda menerima isteri perkasa?

Saturday, February 14, 2009

Terkini : Serangan udara terbaru rejim Zionis di Gaza semalam..



Written by admin from on February 14th, 2009

Sabtu , 14/02/2009 - Satu serangan udara rejim Zionis petang semalam telah menyebabkan kematian seorang lelaki Palestin yang menunggang sebuah motosikal di bandar Abasan, timur Khan Younis, selatan Semenanjung Gaza manakala dua lagi cedera dalam serangan tersebut.

Saksi-saksi melaporkan jet perang rejim Zionis menembak sekurang-kurangnya satu peluru berpandu pada motorsikal lalu membunuh lelaki tersebut dan melukai dua orang lagi.

Sumber-sumber perubatan di Khan Younis berkata penduduk-penduduk yang tercedera menderita luka yang serius, manakala yang lain berada dalam keadaan sederhana.

Sunday, February 8, 2009

Sad tragedy in Perak



Assalamualaikum

Situasi politik Malaysia semakin meruncing. Walaupun seakan sudah muak dan letih melihat situasi politik begini, namun kita tidak boleh kalah kerana kita seorang rakyat Malaysia yang punya hak memilih. Saya perlu cakna politik kerana saya mahu melahirkan anak-anak yang berada dalam lingkungan Islam, terpelihara dan terjaga di bawah kepimpinan yang adil. Pemimpin yang dipilih memerintah negara harini akan memberi kesan jangka panjang kepada kehidupan seseorang individu. Masakan kita mahu generasi akan datang dicorak denga corak pemerintahan yang kotor.


Yang kedua, kerana saya sebagai Muslim. Saya belajar dan faham sedikit sebanyak apa itu khilafah Islamiyyah, bagaimana kerajaan-kerajaan Islam terbentuk hingga menjadi empayar sebegitu kuat. Dan juga bagaimana KUASA itu sangat penting dalam MENGUASAI dan mencorak dunia hari ini. Ada juga beberapa sebab lain yang berkaitan tanggungjawab. Tidak semestinya untuk kita menulis atau memberi komen. Tapi cukuplah kita tahu,analisis dan faham apa sebenarnya yang terjadi kepada negara kita yang tercinta ini.

Ini hanya sedikit analisis peringkat awal dari pelbagai sudut.

Apa yang sedang terjadi kepada Perak sekarang adalah satu tragedy politik yang sangat menyedihkan rakyat. Tak perlulah diceritakan kronologinya, rasanya semua sudah tahu. Secara tiba-tiba katak menjadi “individu” yang paling popular sekarang apabila sifatnya yang melompat terus diperkatakan secara begitu hangat. Trend lompat parti sebenarnya sudah bermula sejak tahun1959 (rujuk buku sejarah). Ada beberapa analisis peringkat awal yang dapat dibuat. Yang pertama ianya menunjukkan parahnya system demokrasi negara. Sangat parah sehingga rakyat, undang-undang, dan Raja dipermainkan seakan tidak ada lagi yang perlu dihormati di negara ini. Bagaimana hak rakyat yang susah payah mengundi dikhianati, undang-undang diputar-belitkan dan instutisi diraja turut diherat ke kancah politik kotor. Kuasa demokrasi itu juga semakin hilang, kalah pada kuasa individu-individu tertentu.


Yang kedua, jangan terlalu gelojoh dan tergesa-gesa atau dengan kata lain jangan kita menjadi golongan musta’jilun. Isu lompat parti kembali hangat dan diperkatakan 16 September 2008. Masih Ingatkah ketika itu PKR menguar-uarkan satu teori melangkah ke Putrajaya. Anwar memberi jaminan bahawa selepas PR mengambil alih, Pilihanraya Umum akan diadakan dalam tempoh yang terdekat untuk mendapatkan mandat daripada rakyat. Pengambil alihan ini akan berlaku dengan lompatan beramai-ramai ahli Umno kedalam pakatan rakyat. Tidak dinafikan ini mungkin sebagai satu strategi. Tapi jika dilihat pada hakikat, ini juga bukan jalan demokrasi. Cuma yang berbezanya mungkin umpan yang digunakan samada umpan wang atau umpan kebenaran. Yang pastinya PR @ PKR tidak dapat mengatakan “lompat parti satu cara kotor” kerana meraka juga pernah mempromosikannya sebelum ini.


Seterusnya, jika dilihat dari sudut Pakatan Rakyat ini adalah strategi BN untuk memecah belahkan Pakatan rakyat. Umno cuba menyemai benih-benih benci ahli Pas dan Dap ke atas PKR. Disamping mengurangkan kepercayaan ke atas PKR, isu ini juga membuatkan rakyat berfikir mungkinkah PKR mempunyai misi lain dalam politik Malaysia? Who knows. Tapi rasanya taktik yang digunakan oleh BN, tersasar kerana secara jelas rakyat nampak dan tahu apa sebenarnya yang terjadi. Tidak pasti siapakah think tank strategi politik begini kerana ianya sangat tidak teratur dan dapat ditebak dengan senang hatta di kedai-kedai kopi.


Tragedy ini dengan jelas menunjukkan perlunya sesuatu parti atau jemaah itu diasaskan dengan dasar yang kukuh dan diikat dengan tarbiyah dan kefahaman. Jika ianya dibina atas dasar manusia atau atas dasar bangsa sahaja ianya tidak cukup dalam memegang hati-hati manusia. Inilah yang menyebabkan manusia cepat terpesona dengan tarikan dunia wang, pangkat dan kuasa.

Sheikh Abu anas Ali menyatakan: “Sesungguhnya parti dan golongan yang memilki peraturan yang menyelisihi al-Qur’an dan as-Sunnah ditolak oleh ajaran Islam, kerana tidak ada dalil dari al-Qur’an dan hadis yang membolehkan umat Islam berparti dan bergolong-golong, justeru sebaliknya kita jumpai banyak dalil yang mencela berdirinya beberapa parti dan golongan, contohnya adalah firman-Nya yang tercantum dalam surah al-An’am, 6: 159, dan ar-Rum 30: 32, bahkan dampakkesan yang kita ketahui dengan adanya banyak parti dan golongan datu sama lain saling menjelekkan, mencaci dan memfasikkan, bahkan boleh jadi lebih daripada itu, mengkafirkan yang lain tanpa dalil (Kaifa Nualiju Waqanal Alim, 199-200)

http://an-nawawi.blogspot.com


Perlu diingat, bahawa apabila berlaku persengketaan diantara 2 pihak, akan ada yang mengambil kesempatan. Dan kita pasti takkan mahu akibat tragedy ini, ada pihak cuba menangguk di air keroh menyebabkan negara tergadai. Yang pastinya siasah atau politik itu perlu kembali kepada akar iaitu Islam. Apa yang sebenarnya mahu diperjuangkan bukan semata-mata kuasa, tapi dakwah dan Islam. Setiap daripada kita perlu tanamkan pada diri bahawa kita adalah da’ie. Biarpun jika ditakdirkan kita kalah dalam medan politik, tapi moga kita takkan kalah dalam medan dakwah. Islam itu adalah matlamat utama.


Dan hendaklah engkau menjalankan hukum di antara mereka dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah dan janganlah engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka, dan berjaga-jagalah supaya mereka tidak memesongkanmu dari sesuatu hukum yang telah diturunkan oleh Allah kepadamu. Kemudian jika mereka berpaling (enggan menerima hukum Allah itu), maka ketahuilah, hanyasanya Allah mahu menyeksa mereka dengan sebab setengah dari dosa-dosa mereka; dan sesungguhnya kebanyakan dari umat manusia itu adalah orang-orang yang fasik. [al-Maidah 5:49)