Sunday, March 22, 2009

ada apa pada Sharm el-Sheikh?



Isu pembantaian Gaza yang dulu hangat diperkatakan masyarakat dunia kini semakin menyepi. Walau bagaimanapun bumi Palestine tetap tidak pernah sunyi dari pelbagai isu dan perancangan pihak-pihak yang punya agenda. Selepas melalui episod perang yang boleh dikatakan pembunuhan beramai-ramai terbesar abad ini, sekali lagi rakyat Gaza terpaksa menghadapi perang psikologi yang bukan sahaja disertai Israel tapi juga negara-negara lain. Tragedi 23 hari yang telah memusnahkan sama sekali 4,000 buah rumah kediaman dan mengorbankan 1,314 orang telah mengheret Gaza ke satu lagi episode perjuangan iaitu Gaza pasca perang.


Persidangan Sham el-Sheikh yang telah berlansung pada 1 Mac baru-baru ini dijangka akan menjadi titik tolak pembinaan semula Bandar Gaza baru. Persidangan yang dirasmikan oleh Presiden Hosni Mubarak itu, turut dihadiri oleh Presiden Perancis, Nicolas Sarkozy,Presiden Palestin,Mahmoud Abbas dan Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS) Hillary Rodham Clinton. Turut hadir ialah menteri-menteri luar dari 45 buah negara. Penyertaan dari negara-negara Arab juga sangat menggalakkan dengan masing-masing bermurah hati menghulurkan bantuan berjuta-juta dollar. Dari satu sudut pandang, ini merupakan satu petanda positif yang menunjukkan meningkatnya kesedaran masyarakat dunia terutama negara-negara Islam kepada isu Palestine. Namun dari sudut berbeza, persidangan Sharm el-Sheikh ini telah mencetuskan beberapa persoalan dan kekaburan kepada matlamat hala tuju sebenar persidangan.


Mesir pada satu ketika dulu telah mencetuskan kontroversi dengan menutup pintu sempadan kepada pelarian Palestine tiba-tiba muncul sebagai hero apabila menjadi penganjur kepada persidangan ini. Begitu juga negara-negara yang terlibat hanya muncul menunjukkan muka ketika persidangan. Dimanakah mereka sewaktu Gaza di serang? Arab Saudi misalnya telah menyumbangkan RM 3.5 billion, AS pula USD 900 juta, Britain RM 35 juta dan juga begitu juga dengan negara-negara lain. Namun bantuan ini tetap mahu dipolitikkan apabila sebahagian hasil bantuan diberikan kepada Tebing Barat yang berada di bawah Fatah, bukan kepada Genting Gaza yang terjejas teruk. Hillary Clinton, sebagai Menteri Luar US juga meletakkan syarat agar sebarang bentuk kewangan yang disalurkan oleh US kepada Gaza tidak boleh sampai ke tangan HAMAS. Lebih menyedihkan, pergerakan HAMAS yang mentadbir Genting Gaza tidak dipanggil untuk menyertai sidang tersebut. Banyak lagi sebenarnya agenda-agenda yang dapat ditebak dari persidangan ini. Boleh dikatakan persidangan Sharm el-Sheikh ini bukanlah bertujuan menjadikan pembangunan Gaza sebagai fokus utama, tapi lebih kepada gula-gula untuk memujuk rakyat Palestine mengadakan genjatan senjata kepada perang yang sebenarnya dicetuskan sendiri oleh Israel dan agar rakyat Palestin terus tunduk kepada kekejaman Israel.


Akhirnya seperti seorang budak kecil, Gaza terus cedera dibelasah oleh Israel, sementara orang lain membiarkan perkara tersebut berlaku tanpa dihalangi. Setelah cedera dibelasah, budak kecil tersebut kemudian diberikan bantuan untuk memulihkan kecederaannya. Kemudian, ia sekali lagi dibelasah sehingga cedera teruk oleh pembuli tadi, dan budak tersebut sekali lagi diberikan derma untuk memulihkan kecederaannya. Pembuli tersebut pula terus dibiarkan membelasah tanpa apa-apa tindakan atau hukuman dikenakan ke atasnya. Semoga Rakyat Palestine terus kuat dalam menghadapi episod-episod perjuangan dan umat Islam akan terus bersatu dalam membantu membebaskan bumi Isra’ mikraj ini.


p/s>: mohon maaf atas ketidakberitahuan. Syukran atas perkongsian bermanfaat di KENDi

No comments: