Tuesday, March 10, 2009

Untuk yang tidak faham BAHASA rakyat

Apa perasaan anda punya pemimpin yang susah nak faham dan tak faham-faham? Kecewa. Nak piat telinga, nak sekeh kepala tak sesuai sebab rasanya pemimpin-pemimpin yang “dipilih oleh rakyat” ini masih elok pancaindera mampu mendengar dan melihat. Demo PPSMI baru-baru ini, bukan demo biasa-biasa seperti kenaikan harga minyak atau harga barang naik. Tapi ini demo luar biasa menunjukkan manifestasi kemarahan hati rakyat yang punya pemimpin tak faham bahasa. Saya yakin bagi para seniman, sasterawan, pelajar dan orang-orang akademik yang terlibat dalam demonstrasi ini sudah tidak tahan dan akhirnya memilih cara demonstrasi sebagai cara terakhir.


Seperti semua sudah maklum, sebelum terjadinya demo ini pelbagai memorandum, kertas kerja, sidang meja bulat, meja bujur, mesyuarat, kajian serta pelbagai lagi cara rasional dan ilmiah telah digunakan melalui medium yang betul. Para sasterawan telah memberi hujah, para ulama telah memberi pendapat dan rakyat jelata sendiri telah menyampaikan perasaan tidak setuju dengan cara berhikmah dan terbaik. Tapi malangnya, oleh kerana kita punya kerajaan yang susah hendak faham, segala memorandum, kertas kerja dan kajian-kajian hanya di bakul sampahkan. Jalan mana lagi yang kami mampu untuk suarakan kecuali dengan cara demonstrasi? Dan apabila rakyat berdemo, para pemimpn cerdik pandai ini berkata “ gunakan cara diplomasi. Demontrasi jalanan ini bukan budaya kita”. Apa erti diplomasi dan demontrasi jika kerajaan masih “tak mampu” memahami mesej yang hendak disampaikan rakyat? Inilah kerajaan yang ego dan pentingkan diri!


Rasa seperti mahu ketawa juga ada apabila ada dikalangan pemimpin ini sudah lupa. Mungkin kerana banyak sangat berfikir “ hal lain”

Menteri Pelajaran, Hishammuddin Tun Hussein dengan nada memperli, kenapa selepas 6 tahun baru sekarang perkara ini dibangkitkan. Dangkal sungguh pemikiran beliau, tidak tahukah beliau setelah 6 tahun PPSMI ini berjalan, masih belum ada kata putus tentang perlaksanaannya. Sila rujuk link Wikipedia ini: Sehingga 16 Februari 2009, menurut Menteri Pelajaran, Dato' Seri Hishammuddin Hussein, status pelaksanaan dasar ini masih lagi di peringkat penelitian.

http://ms.wikipedia.org/wiki/Pengajaran_dan_Pembela

Kepada pejuang PPSMI, saya hormati pendapat anda. Cuma saya minta buangkan sekejap belenggu di kepala yang anda dapat dari suratkhabar kerajaan dan cubalah cari rasional mengapa pihak-pihak yang menentang PPSMI begitu bersungguh-sungguh bermati-matian menghapuskan PPSMI. Bukalah laman-laman web, surat khabar alternative, blog-blog non partisan atau apa-apa saja. Perlu juga diingat mereka-mereka yang menentang PPSMI ini bukan orang-orang biasa, tetapi mereka-meraka terpelajar. Saya sendiri telah berjumpa dengan 3 orang guru sains dan matematik ketika demo baru ini dan mereka menyatakan kekecewaan yang sangat dengan memberikan rasional dan fakta kenapa mereka menolak PPSMI.


Saya sendiri bukan lah orang yang suka berdemo. Dan demonstrasi bagi saya adalah cara terakhir untuk “mengajar” jika pelbagai cara rasional telah digunakan. Ketika saya sampai di masjid Negara keadaan masih lagi terkawal. Kali ini para rakyat yang hadir banyak juga dikalangan orang-orang tua dan kanak-kanak. Sangat terharu apabila melihat makcik tua bertongkat berpakaian putih berjalan perlahan-lahan diiringi anaknya. Saya menyangkakan perhimpunan kali ini akan berlansung dengan baik. Rakyat hanya mahu menyampaikan “kata hati, bahawa kami sayang bahasa kami. Dan tolonglah para pemimpin “cerdik pandai” untuk memahami. Hapuskan PPSMI”. Tenyata ianya meleset. Sebelum sempat sampai, dari jauh kelihatan kereta-kereta besi buruk berwarna merah menyembur para peserta perhimpunan tanpa perasaan. Sungguh kurang ajar. Insiden yang paling memberi memori panjang tentang kerajaan zalim ini adalah tindakan mereka menyembur di kawasan masjid. Sungguh-sungguh kurang ajar dan patut diajar. Para peserta yang berlindung serta jemaah masjid lari bertempiaran masuk ke dalam ruang solat. Orang-orang masjid geleng kepala, rakyat berdoa didalam masjid moga hukuman dan ganjaran yang setimpal diberi pada mereka sambil mata menangis kerana sedih dan pedih terkena bom asap. Menurut sahabat saya keadaan di Istana negara lagi kurang diajar.


Saya tahu dan membaca, bukan semua pemimpin setuju dengan PPSMI. Terima kasih YB Fuad Zarkashi, pemimpin politik hati nurani kerana telah berusaha 4 kali membawa isu ini ke Parlimen. Terima kasih kepada pemimpin lain yang melihat isu ini dari sudut rakyat. Kami rakyat yang akan menerima dan mengguna pakai system ini. Anak-anak kami yang akan belajar dan mendapat akibat baik buruk system ini. Anak-anak, adik-adik kami bukan seperti anak-anak anda yang dihantar belajar di luar negeri, yang lepak di Starbucks, yang minum-minum di hard Rock cafĂ©, yang mendengar lagu Rihanna atau Avril lavinge. Tapi anak-anak, adik-adik kami adalah anak-anak bangsa yang baru belajar dan mahu belajar. Biarlah kami memahami pelajaran dengan bahasa kami. Tidak mustahil kami mampu bertutur di dalam bahasa English lebih lancar dari anda. Kami punya hak untuk menentukan halatuju dan masadepan hidup kami. Kami tidak mahu bahasa Melayu jadi seperti tulisan jawi. Akhirnya hilang dan dilupakan akibat perbuatan pemimpin tidak berfikir panjang. Bahasa itu jiwa bangsa, memahamkan agama mendaulat negara! Jika kerajaan masih lembap, longlai dan acuh tak acuh menyelesaikan isu ini…kami ada bahasa yang lebih “baik” untuk menyedarkan anda!

*Terharu dengan kenyataan YB Khaled Nordin mahu menangkap mahasiswa yang terlibat dengan demo PPSMI. Jika dia mahu para mahasiswa lembab, jumud, hidup dalam dunia sendiri selalulah berfikir seperti ini. Saya pasti jika KPT betul2 mahu, maka akan senyap sunyilah university pada kesokan hari kerana ramainya yang ditangkap.

” Kami di sembur, ditembak dengan asap pemedih mata. Semua mata menangis kerana punya kerajaan zalim. Peluru dan air ganas bertalu-talu menghentam kawasan masjid. Anak-anak menangis, ibu-ibu berteriak. Kenapa bahasa kami dibuang? Sungguh-sungguh bahasa itu jiwa bangsa. Memahamkan agama, mendaulat Negara. Pertahankan bahasa kita - Masjid Negara, PPSMI” . 7 mac 2009


rasa seperti tidak mahu lagi tinggal di Malaysia. Biar disana berperang, tapi jiwa tenang

2 comments:

Anonymous said...

Pemimpin korup, mengadai maruah bangsa. Mansuh PPSMI!

Anonymous said...

PPSMI menghancurkan bahasa bangsa, bahasa yang sekian lama menjadi bahasa ilmu, yang pernah mewujudkan satu tamadun bangsa yang gemilang. Jangan lupa itu.

Jika kita melupai sejarah, percayalah, kita akan mengulangi sejarah
MANSUH PPSMI