Tuesday, March 24, 2009


Ingin jadi mujahid!

Awan hitam nampak semakin jelas di langit. Berambal-ambal seakan membentuk wajah-wajah suram manusia. Ahmad Yassin berjalan cepat. Dia perlu sampai ke rumah sebelum hujan turun. Angin keras tiba-tiba berhembus menampar-nampar pipi licinnnya. Seakan puting beliung bertiup membawa bersama daun-daun kayu dan habuk di jalanan. Dia berhenti sekejap di bawah sebuah dangau kayu sambil melihat-lihat langit. Ada rintik-rintik hujan mulai jatuh dan terkena hujung hidungnya “Nak hujan lebat ni. Kalau balik juga mesti basah” katanya perlahan. Ahmad Yassin lantas mengambil keputusan untuk menunggu hingga hujan berhenti. Kopiah putih dikepala diletak di tepi bersama bekas air Kero-kero yang dibawa. Dangau kayu itu nampak utuh walau sudah lama berdiri memberi khidmat pada manusia. Cuma manusia saja yang tidak pernah menghargai. Ternampak tulisan-tulisan tak bermoral di conteng di bangku duduk. Sampah sarap penuh di lantai. Ahmad Yassin menggeleng kepala. Inilah Umat yang tidak bersyukur dengan nikmat.


Hari ini emosinya sedikit terganggu. Tidak pernah dia merasakan sebegini. Ustazah Mashitah, guru kelasnya telah menceritakan sesuatu yang sangat menyentuh jiwa. Selama ini dia hanya melihat di televisyen. Kadang-kadang dia cuba bertanya macam-macam pada abang Aizat, namun jawapan yang diterima tidak memuaskan hati. “ Mereka itu orang jahat. Adik takkan faham. Bila besar nanti adik jangan jadi macam meraka tau”. Hanya itu jawapan yang selalu diterima. Dia juga bertanya pada mama, abah, kak Zatil dan abang Zaim. Namun jawapannya sama. “Mereka orang jahat”. Dia akan buat muka memberontak dengan jawapan itu. Kenapa mereka tidak mahu bercerita? Dia mahu tahu!


Israel dan Palestin. Ini yang telah menggangu benaknya hari ini. Rupa-rupanya kanak-kanak yang cedera dan mati di televisyen itu bernama Palestine. Orang yang bermuka seperti biawak komodo di belakang rumahnya sambil memegang senapang itu pula bernama Zionis atau Israel. Ahmad Yassin tidak faham. Dia baru darjah satu. Baru mula belajar ABC walau dia sudah boleh membaca seawal usia 4 tahun. Dia angkat tangan bertanya. “ Ustazah kenapa kopiah orang yang nama Israel itu kecil, tak macam saya? Kenapa kanak-kanak bernama Palestin itu mati? Kenapa rumah mereka runtuh? Kenapa dan kenapa. Kawannya Zaki di sebelah kiri senyap, Kimi disebelah kanannya pun senyap. Seluruh kelasnya sunyi sepi. Ustazah Mashitah kelihatan sedikit terkejut dengan soalan itu, namun perlahan-lahan tersenyum. “ Siapa diantara kamu dapat menjawab soalan Ahmad Yasin?” Ustazah bertanya pada seisi kelas. Ada getar pada suara ustazah muda itu.


Khali sebentar. Kawan-kawannya mula bising-bising. Terdengar suara halus kawannya Afizan dibelakang. “Mak aku kata, Israel tu jahat tau. Dia suka bunuh budak- budak kecil macam kita ni. Eee…takutnya”. Tiba-tiba kawan baiknya Kamarul mengangkat tangan tinggi. “ Ustazah, saya nak jawab”. Ustazah Mashitah mengangguk. Kamarul anak ustaz. Ayahnya imam di masjid kampung Yassin. Setiap malam Yassin akan pergi solat di masjid bersama abah. Kemudian dia akan bermain-main bersama Kamarul. Kadang-kadang dia juga mendengar kuliyah di masjid walaupun dia tidak faham. Abah kata dengar pun dapat pahala. “ Ustazah, abi saya kata yang pakai kopiah kecil tu namanya Zionis dan Israel. Mereka tu jahat. Meraka tak suka orang Islam. Mereka bunuh nabi-nabi kita. Abi saya kata, Al-Quran pun banyak cerita pasal mereka”.


Kamarul berhenti sekejap menarik nafas sambil menggaru-garu tangan. “ Abi saya kata lagi, kita tak boleh sokong Amerika sebab Amerika sokong Israel. Kita tak boleh makan McDonald, tak boleh minum air Coca Cola, tak boleh minum air Pepsi. Abi saya kata, setiap sen yang kita beli, seperti kita membeli sebutir peluru untuk membunuh saudara kita disana” Kamarul bercakap laju lagak seperti ayahnya kemudian terus duduk. Seperti membaca skrip. mungkin ini yang diceritakan oleh ayahnya sebelum tidur. Ustazah Mashitah pegang meja rapat. Yassin nampak ada air di kelopak mata ustazah. Mungkin mata ustazah masuk habuk.


Kemudian Ummu si ketua kebersihan pula bangun. “ Ustazah, nenek saya kata, Israel nak ambil masjid kita. Nama masjid tu Al - Qassa” Ustazah Mashitah cuba membetulkan “ Salah tu. Nama masjid itu Al-Aqsa”. Mereka semua menyebut beramai-ramai “AL-AQSA!!!” kelas bergema. Ummu menyambung lagi. “ Saya suka tengok berita dengan nenek. Setiap malam mesti ada cerita pasal Palestin. Dulu takde pun. Nenek saya kata, sekarang ini Palestin kena serang. Meraka kena tembak dengan senapang, kena bom dan macam-macam. Kesian mereka. Tapi kanak-kanak tu hanya baling batu je. Saya geram la ustazah. Mana aci macam tu” Ummu menunjukkan muka marahnya. Ustazah Mashitah terus terduduk. Kali ini hidung ustazah merah dan berair. Mungkin ustazah juga ada penyakit resdung macam kak Zatil. Tapi nampaknya ustazah lebih teruk.


Giliran dia pula mengangkat tangan dan berdiri “ Ustazah, betul ke apa yang Kamarul dan Ummu cakap? Muhammad Yassin tak puas hati. “ Kenapa kita tak tolong mereka? Kitakan orang Islam juga. Kenapa kita biarkan mereka yang nama Israel tu bunuh orang Palestin? Membunuh itu kan berdosa. Masuk neraka. Muhammad Yassin terus bertanya. “ Ustazah, boleh tak kita sama-sama pergi Palestin? Abah saya ada senapang, dan saya ada lastik. Saya selalu lastik cicak kalau malam Jumaat. Nanti saya pinjam senapang abah saya dan bagi kat ustazah. Saya dan Kamarul akan buat lastik banyak-banyak dan bagi dekat budak lelaki. Budak perempuan pula tolong kutip batu kat belakang kelas. Lepas tu kita pergi tempat yang nama Palestine tu. Kita kena selamatkan masjid Al-Aqsa dari kena curi. Nak tak kawan - kawan?” Ahmad Yassin bertanya. “Nak!” Kelas Satu Nilam bergema lagi.


Ustazah Mashitah tak terkata. Air jernih mengalir deras dari celah matanya. Dia nampak muka anak-anak ini bercahaya. Dia menangis tapi cepat-cepat mengesat air matanya. Dia tak mahu kalah dengan anak-anak muridnya ini. Tadi ustazah Mashitah hanya mahu menduga mereka. Dia ingat mereka tidak tahu apa-apa. Mereka baru berusia 7 tahun. Malah ada yang masih membawa botol susu ke sekolah terutamanya Kamarul. Tekaannya benar-benar meleset. Dia seakan berhadapan dengan askar Salahuddin Al-Ayyubi yang berani. Askar yang membebaskan Masjid Al-Aqsa. Anak-anak ini sangat menakjubkan!


Dia dapat pelajaran berharga hari ini. Jika ada yang mengatakan bahawa kanak-kanak pada umur begini tidak sesuai didedahkan dengan perkara seperti ini, kita silap. Waktu inilah kanak-kanak cepat menghadam sesuatu yang diajar. Ini sejarah Islam. Ini kisah umat. Ini agama mereka. Kenapa kita perlu berahsia dan mengelak untuk bercerita. Jika bukan di umur begini, bila lagi? Ketika mereka sudah terdedah dengan cerita-cerita karut, hiburan-hiburan yang meloyakan baru kita hendak bercerita tentang Islam? Jika Zionis sudah mendoktrin anak-anak mereka sejak dari lahir bahawa they are born to kill, kenapa kita tidak mendoktrin anak-anak kecil kita bahawa they are born to be a Muslim warrior.


Ustazah Mashitah bangun dari kerusi. Dia melihat wajah anak-anak muridnya satu persatu. Ada yang masih semangat bersembang, ada yang menangis dan ada yang sudah tersengguk-sengguk mengantuk. Dia termalu. Anak di usia ini pun tahu apa itu kemanusiaan, inikan pula orang dewasa yang masih tidak tahu menahu apa yang terjadi di Palestin. Dia melihat wajah Ahmad Yassin. Wajahnya bersih, bercahaya dan jernih. Anak ini bakal jadi pejuang Islam suatu hari nanti. Kata hatinya perlahan. Mereka ini semua bakal jadi insan berguna pada agama, bangsa dan negara. Mempertahankan Islam seperti para nabi, sahabat dan pejuang-pejuang Islam terdahulu. Membebaskan Palestin dan dunia Islam dari cengkaman musuh. Mereka ini bakal menjadi mujahid abad 21. Itu doanya, itu harapannya buat muka-muka jernih ini. Ustazah Mashitah berkata perlahan “ Boleh. Tapi semua kena belajar bagi pandai dulu. Baru boleh pergi ke Palestin”.


Ahmad Yassin mendongak melihat langit. Hujan sudah mulai berhenti. Dia memakai kopiah putih di kepala sambil menggalas beg Superman di belakang. Bekas air warna hijau Kero-kero dijinjing di tangan kanan. Dia perlu segera pulang. Ahmad Yassin mahu cerita pada abah, mama, kak Zatil, Abang Aizat dan Abang Zaim tentang Palestin dan Israel. Dia mahu baca buku dan belajar agar jadi pandai. Dia mahu buat lastik banyak-banyak dengan Kamarul. Dia mahu pinjam senapang abah. Dia mahu ke Palestine dengan Mama, Abah ,Abang Aizat, Abang Zaim, kak Zatil, Ustazah Mashitah, Ummu, Afizan dan semua kawan-kawan 1 Nilam. Dia mahu jadi pejuang Islam, dia mahu jadi mujahid abad 21.


P/s: cerpen di buat khas utk sahabat2 yang sedang berjuang dalam SRC. dah lama dah buat, tak sempat publish. Moga anda semua sekuat semangat murid 1 Nilam. nama2 dalam ini ada kaitan dengan yang hidup :) GUD LUCK! GAMBATE!

1 comment:

Khaulah Azwar said...

Busyra!!
Bestnya cerpen Busyra, suka sangat bc! Tahniah dik, adik mmg hebat!
Kak Fizah tunggu tulisan2 Busyra lg..=)
siiru ala barkatillah!