ISA (Internal Security act) atau Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 telah dianggap sebagai “Draconian Law” pada pandangan mata rakyat. Bagaimana satu akta yang kejam ini tanpa peri kemanusiaan memisahkan anak dengan bapa, isteri dengan suami dan tanpa rasa bersalah memperlakukan seseorang seperti pesalah jenayah tanpa terbukti benar dia bersalah di mahkamah keadilan. Melihat pada sejarah, ISA boleh dikatakan telah bermula sejak sebelum Merdeka yang pada masa itu ialah Ordinan Peraturan Darurat 1948. Ianya digubal untuk menghadapi serangan komunis iaitu Parti Komunis Malaya dan merupakan undang-undang tahanan pencegahan atau “preventive detention”. Apabila zaman darurat telah berakhir pada tahun 1960, kerajaan telah meluluskan satu akta iaitu Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 dibawah Artikel 149 dalam Perlembagaan Malaysia yang seakan menyambung undang-undang sebelum itu. Akta ini memberikan kuasa kepada Menteri Keselamatan Dalam Negeri untuk menahan sesiapa yang disyaki atau dirasakan mengancam keselamatan dan kemakmuran negara tanpa melalui pertuduhan dan perbicaraan di mahkamah. Didalam seksyen 8(1) Akta Keselamatan Dalam Negeri, telah menggariskan berdasarkan tiga sebab seseorang itu boleh ditahan dibawah Akta ISA iaitu sekiranya dia didapati mengganggu dan mengancam keselamatan negara, pengurusan dan pentadbiran negara serta kehidupan ekonomi. Akta ini telah menjadi akta penuh kontroversi yang mendapat respon dan kritikan dari banyak pihak kerana dikatakan mencabul hak-hak asasi manusia kerana memperlakukan seseorang seperti penjenayah tanpa melalui proses perbicaraan yang sepatutnya atau disebut “detention without trial”.
Tidak dinafikan, melihat kepada sebab-sebab akta ini digubal adalah untuk melindungi negara dari musuh-musuh dan anasir luar. Di dalam dunia yang penuh dengan propaganda, keganasan, militant dan kerakusan politik-politik kotor, setiap negara patut untuk merasa terancam dan mengambil langkah-langkah keselamatan. Namun begitu, daripada segi prinsipnya, akta ISA adalah bertentangan dengan perlembagaan dan konsep kedaulatan undang-undang. Akta ISA bertentangan dengan perlembagaan kerana ia bercanggah dengan peruntukan-peruntukan di bawah kebebasan hak asasi. Bagaimanapun, pertentangan ini diharuskan oleh Perkara 149 yang memberikan kuasa kepada Parlimen untuk membuat undang-undang bagi mencegah kegiatan subversif . Kuasa untuk menangani kegiatan dan anasir subversif ini terlalu luas sehingga ia boleh merangkum apa sahaja keadaan yang dianggap mengancam ketenteraman awam termasuk yang belum berlaku lagi. Ternyata akta ini mempunyai kepentingannya tersendiri dan tidak mustahil jika berlaku peralihan kuasa, kerajaan pada waktu itu akan turut menggunakan akta ini atau menggubal akta seakan ISA dengan alasan melindungi negara. (yang ni sj je. Tak setuju pun boleh)
Namun apa yang menyedihkan, matlamat utama akta ini seakan sudah terpesong jauh. ISA telah disalahgunakan oleh pihak-pihak tertentu untuk kepentingan politilik. Pada realitinya mereka yang tidak bersalah dan tanpa sebarang bukti ditahan, manakala mereka yang terang jelas menghancurkan keharmonian negara dibiarkan bebas. Selain tidak dibawa ke muka pengadilan, aplikasi akta ini seakan pilih bulu. Politik seakan lebih berkuasa daripada keadilan. Kerajaan bertegas bahawa akta ini adalah untuk membendung kerisauan rakyat pada Malaysia yang semakin tidak selamat dan terancam oleh pengganas. Kerisauan rakyat pada keadaan Malaysia yang semakin tidak selamat sebenarnya lebih kepada jenayah yang terlalu banyak berlaku. Walaupun sejumlah rakyat Malaysia ditahan dibawah ISA, tetapi tidak ada jaminan kehidupan yang selamat selagi jenayah seperti pembunuhan, ragut, rompakan, dadah dan sebagainya tidak dapat ditangani. Kerajaan juga perlu jelas tentang siapa yang dilabelkan sebagai pengganas. Sehingga hari ini rakyat tertanya-tanya aktiviti apa yang dianggap sebagai mengancam negara. Adakah dengan menyatakan pandangan atau kritikan pada kerajaan dengan niat untuk memperbaiki hidup masyarakat dan menyatakan kebenaran boleh dianggap sebagai satu ancaman?
Mahasiswa sepatutnya memandang secara rasional pada setiap isu dengan melihat kepada baik buruknya pada masyarakat dan negara. Selain itu, sebagai pemimpin masa depan seharusnya menjadi satu prinsip pada mahasiswa untuk menolak segala kezaliman dan menegakkan kebenaran. Melihat kepada akta ini secara menyeluruh, ia sepatutnya dipinda bersesuaian dengan undang-undang nilai, dilaksanakan secara betul dan telus disamping mengekalkan unsur-unsur yang dapat digunakan pakai pada penjenayah dan pengganas yang sebenar. Keadilan dan kedaulatan negara perlu diletakkan melangkaui politik atau kepentingan peribadi. Detention without trial atau tahanan tanpa perbicaraan ini juga perlu dilihat semula oleh kerajaan. Dalam prinsip dan konsep undang-undang atau apa sahaja nilai keagamaan, tidak yang ada membenarkan menganiayai seseorang tanpa bukti dan menghukum tanpa bicara. Sekiranya semua ini masih tidak dapat diperbaiki, ISA akan terus menjadi luka yang bernanah dalam diri rakyat. Yang pasti, mahasiwa akan terus bersama mencari keadilan dan menghapuskan kezaliman demi masa depan negara tercinta.
No comments:
Post a Comment