Thursday, July 30, 2009

released : Seteguh tekad Furat

Sungai Furat

Sungai Furat terbentang luas dihadapan. Terus mengalir tenang menyusup perlahan ke pelusuk tanah subur. Jernih airnya ternampak hingga ke dasar. Desir angin sedikit kuat mengibar-ngibar kemeja birunya. Air sungai syurga itu diteguk sedikit, terasa atmanya seperti disiram embun pagi. Sejuk terasa mengalir ke setiap saraf dan rongga. Benarlah ada hadis yang menyatakan,sungai Furat ini sungai syurga dunia. Muslim ibn Hajjaj Al Naisabury, meriwayatkan, ia berkata, telah berkata rasulullah SAW: “Saihan Wa Jaihan Wa Al Furat Kullun Min Anhari Al Jannah,"(Saihan, Jaihan, Al Furat dan Al Nil masing-masing adalah berasal dari sungai-sungai surga, Shahih Muslim). Biarpun sebelum ini Furat terus mengalir, dia tetap disitu setia menemani. Namun kali ini mungkin dia akan pergi bersama aliran sungai Furat. 5 tahun terasa seperti sangat singkat. Sungguh-sungguh perjalanan menuntut ilmu sangat penuh onak dan duri, namun hakikatnya terasa sangat manis.

Seluar disinting paras betis sambil kaki mulai perlahan mencecah gigi sungai syurga itu. Dia Muhammad Fateh, pelajar tahun 4 Jurusan Syariah dan Perundangan Maahad Furqan. Harini ini sengaja dia melarikan diri sekejap. Mencari ketenangan dan kekuatan dengan musafir yang panjang. Berharap agar doa dan munajat sepanjang musafirnya akan didengar Tuhan Sabda Rasulullah s.a.w, seperti diriwayatkan Tirmidzi, bermaksud: “Tiga doa yang pasti akan dikabulkan Allah S.W.T ialah doa orang teraniaya, doa orang dalam musafir dan doa orang tua terhadap anaknya. Dan kini dia terpacak berdiri di tebing sungai Furat yang pemurah setelah semalaman menaiki qitor ke daerah Raqqah. Bukan mudah untuk dia sampai hingga ke tahap ini. Perjalanan selama 5 tahun di sini sebenarnya banyak mengajarnya erti hidup sebagai hamba tuhan yang sebenar. Dia terus bersyukur dicampakkan ke dataran Syam ini untuk memperhambakan diri mencari ilmu. 5 tahun itu kini berlalu. Seusai imtihan madah terakhir 2 minggu yang lepas, dia bertukar pendiam. Lebih banyak berfikir dan termenung. Masanya banyak dihabiskan di bilik atau di Jami’ Manjak. Kadang-kadang beruzlah di Jami’ Umawi sambil-sambil mengikuti pengajian kitab. Adik-adik serumahnya di Hadiqah Sinaah menjadi risau. “Abang Fateh, ada masalah ke?” Sahabat-sahabtnya di rumah persatuan juga selalu datang berziarah dan bertanya keadaannya yang sudah jarang ketemu. Selalunya dia hanya akan menjawab ringkas sambil tersenyum manis “Ana sihat Alhamdulillah. Cuma rindu pada Furat”.

Pagi itu sesudah imtihan madah Qanun Jana’i dia digamit Malic, sahabatnya dari Russia. Lelaki berjanggut pandak berwarna blonde itu akan tersenyum seperti selalu dan akan mencium pipinya tatkala berjumpa. Namun kali ini dia mencium pipi Fateh sambil memeluk erat dan berbisik, “Anta rafiki dunya wal akhirah. Jangan tinggalkan ana”. Ada keruh di wajahnya. Mohammad Fateh tersenyum sambil membalas erat pelukan sahabatnya yang sangat berhati waja ini. Anak muda yang lahir di celah-celah Komunisme namun hatinya penuh seberkas cahaya iman yang lantas membawanya kesini. Malic memberitahu Syeikh Dr. Ramadhan Redho mahu berjumpa. Laju sahaja kakinya menghala ke bilik pensyarahnya itu. Seperti biasa Syeikh Ramadhan akan menyambut tetamunya dengan penuh tarhib disulami doa-doa. Syeikh tua itu sudah seperti ayahnya. Wajahnya tenang dengan cahaya, hatinya bersih, ilmunya tinggi. Perbualannya dengan Syeikh Ramadhan telah memberikan kesan yang sangat besar pada dirinya hingga dia jadi begini. Sebenarnya ada beberapa perkara yang merudung sedikit fikirannya sekarang dan semuanya berkaitan dengan masa depan.

Kerisauan untuk pulang ke Malaysia, tanggungjawab yang menanti, taklif dakwah yang ditanggung, masa depan yang tak pasti dan rindu pada Furat. Ketika mula dia menjejak kaki ke bumi Syam ini, dia telah berazam untuk mengutip sebanyak mungkin mutiara ilmu disini. Dia membawa harapan ramai orang, ummi dan abi, sahabat-sahabat, guru-guru dan masyarakat. Dia tidak mahu memburukkan nama mereka yang belajar di Timur tengah. Pernah sekali ketika dia pulang ke kampung tedengar sindiran-sindiran dari masyarakat. “Alaah, belajar kat negara arab pun sama je sekarang. Balik ke sini tak bagi manfaat pada masyarakat pun. Cakap Arab pun tak pandai. Lepas tu sebab tak lulus exam, tinggal lama kat sana. Menghabiskan duit mak bapak je”. “Fateh, makcik dengar orang belajar kat Arab sekarang sama je macam orang belajar kat London. Betul ke?”. Pedih hatinya mendengar sindiran-sindiran begitu. Dan dia akan menidakkan sambil tersenyum dan menceritakan bagaimana keadaan disana yang menjadikan pelajar-pelajar bukan sahaja berjaya dalam bidang agama, tapi turut mempersiapkan diri dengan bidang lain sebagai persediaan menempuh cabaran di Malaysia. Kadang-kadang, bukan kerana malas atau main-main. Kawannya Naim, diketahui umum sebagai pelajar cemerlang Maahad terpaksa mengulang satu semester kerana tidak lulus imtihan niha’i. Apabila ditanya dia mengaku sengaja tidak menjawab dengan baik kerana mahu terus menuntut ilmu di bumi barakah ini. Duit bukan masalah utama, di sini rezqi tuhan dimana-mana kerana rakyatnya begitu bersikap pemurah. Apapun dia tidak menafikan, ada juga yang main-main ketika belajar dan tidak menghargai ilmu-ilmu yang subur di tanah tinggalan anbia’ ini.

Baru-baru ini juga kawan baiknya Thariq, bekas pelajar University Islam Antarabangsa menghantar emel kepadanya. Sekarang Thariq bekerja di Jabatan Agama Islam dan dalam masa yang sama peguam di sebuah Firma guaman. Diantara isi kandungan emel tersebut menceritakan keadaan di Malaysia dari isu politik, isu semasa, gejala social dan serangan pelbagai pihak pada kesucian Islam. Dibahagian akhir emel tersebut tertulis sedikit pesanan. “p/s: Fateh bila nak balik? Aku tunggu kepulangan kau. Balik nanti kau kerja dengan aku ya. Aku sangat perlukan kau untuk membantu aku menyelesaikan kes-kes disini. Malaysia kian gawat Fateh. Tambahan pula kau jurusan Syariah dan undang-undang. Dan yang paling penting aku nak kau ada waktu walimah aku nanti. Aku dah nak kahwin, kau bila?”. Hatinya dirudung risau. Beginikah Malaysia sekarang? Sepanjang 5 tahun dia hanya pulang sekali sahaja itupun pada tahun kedua pengajian. Apapun Thariq sudah mahu mendirikan rumah tangga. Dia tumpang gembira. Siapalah gadis bertuah tu. Ah, Thariq itu walaupun karekternya sedikit gila-gila tapi dia berjiwa besar. “Mabruk untuk kau Thariq”…

Betullah semakin bertambah umur semakin dekat dengan kematian dan semakin akan bertambah tanggungjawab. Umurnya yang sudah menjangkau 26 tahun adalah waktu yang sesuai mendirikan rumah tangga. Menerima tanggungjwab baru sebagai suami dan bapa. Bukan tiada yang berkenan di hati, malah dia turut dirisik pihak muslimat di sini. Ramai juga kawan-kawannya yang sudah berumah tangga sambil belajar. Dia cuma mahu menumpukan perhatian pada mencari ilmu dan hatinya sendiri sebenarnya masih belum terbuka. Tambahan dia tidak punya ramai kawan perempuan kerana meletakkan syarat pada dirinya. Tiada istilah ‘ hanya kawan’ dalam perhubungan lelaki dan perempuan. Pasti akan terselit sedikit perasaan terutama jika kedua-dua pihak masih tidak berpunya. Perhubungannya hanya terbatas pada kerja dan perbincangan-perbincangan ilmiah sahaja. Walaupun ramai yang berpendapat dia berfikiran kolot dan syadid namun dia punya sebab tersendiri. Hanya manusia dan tuhan sahaja yang tahu tahap iman dalam diri seseorang. Dia takut dengan iman sebegini, dia akan tewas. Biarlah wanita yang akan dia kenali nanti adalah wanita yang akan menjadi isternya yang sah. Dia cuba mengelak bercinta-cinta. Jika mahu lahirkan generasi yang soleh, ianya bermula sejak dari remaja lagi. Dan kini dia sudah bersedia untuk memulakan pencarian. Bak kata Saifulislam, jodoh itu tidak datang bergolek. Bukan hanya doa dan tawakkal, tapi juga usaha!

Air sungai Furat terasa berkocak. Terpercik air-air jernih di atmosfera. Dia terjaga dari lamunan. Ah! Terasa gulau hati ini. Fateh beristighfar panjang. Bukan senang membuat keputusan dalam hidup. Dia bukan seorang yang terdesak jauh lagi dipaksa. Cuma sekarang dia merasakan masanya sudah tiba. Gadis itu, Sumayyah ‘Athiyyah namanya. Wajahnya seperti gadis melayu biasa namun sejernih Furat. Gadis itu dikenalinya di internet melalui satu laman web perbincangan hal-hal berkaitan agama. Sebagai seorang moderator tetap laman web tersebut, menjadi tanggungjawabnya untuk menjawab persoalan-persoalan yang dikemukakan berpandukan sumber-sumber yang sohih. Kehidupannya yang memang bergelumang dengan kitab-kitab dan dikelilingi para ulama banyak membantu. Kadang-kadang dia turut sama dalam perbincangan yang kebanyakkannya berkisar tentang agama dan isu semasa. Sungguh-sungguh dia kagum dengan gadis ini. Walaupun bukan dari jurusan agama, pengetahuan dan semangatnya untuk belajar sangat tinggi. Dia banyak ditanya dan berbincang tentang pelbagai masalah mu’asirah. Melalui profil gadis ini, barulah dia tahu Sumayyah ini salah seorang ahli satu badan NGO islam. NGO yang diberi nama Institute Mus’ab bin Umair ini ditubuhkan khusus untuk melatih dan melahirkan para du’at professional. Fokus Institut ini juga bukan sekadar metod dakwah biasa tetapi lebih kepada memahami dan menjawap persoalan-persoalan zaman moden seperti pluralism, secularism, feminism dan isme-isme yang lain. Walaupun isu-isu begini agak baru baginya, namun dia akan sedaya upaya membantu dengan mencari jawapan terbaik berpandukan sumber-sumber muktabar selain merujuk beberapa kitab-kitab falsafah karangan ulama-ulama mutakhir. Jika masih tidak ketemu jawapan, dia akan merujuk para syeikh dan selalunya Syeikh Ramadhan Redho lah yang menjadi rujukan utama.

Dia tahu Sumayyah ‘Athiyyah tidak pernah kenal dirinya malah menganggapnya seperti moderator lain yang kebanyakkannya sudah berumur dan berkahwin. Dia juga tidak berniat mendedahkan identity sebenar. Baru-baru ini gadis itu menghantar emel mengucapkan terima kasih dan memintanya membuka laman web Berita Harian. Barulah dia tahu gadis itu telah menjadi salah seorang panel dalam satu program yang dianjurkan NGO mempertahan kan hak-hak wanita. Gerakan Feminisme di Malaysia. Diantara isi emel tersebut berbunyi “ Terima kasih ustaz banyak membantu saya. Alhamdulillah, saya dapat menjawab soalan-soalan yang dikemukan mereka dengan baik walau mereka seakan-akan cuba memerangkap saya menggunakan dalil-dalil agama. Saya hampir-hampir kelu. Namun saya sentiasa berdoa moga yang hak akan tertegak dan yang batil akan terbongkar. Saya juga banyak menerima respon-respon positif”. Fateh tersenyum dan mengucap hamdalah. Moga-moga usahanya diredhoi Allah. Dia menyambung bacaan emel. “ Apa yang saya dapat konklusikan secara tidak formal melalui pemerhatian saya, kebanyakan mereka ini tidak berkahwin. Persoalan-persolan yang diutarakan juga diantaranya mempertikaikan hak-hak wanita contohnya hak untuk thalaq, hak pada harta pusaka dan kenapa syurga seorang isteri itu adalah pada suaminya. Bagi saya mereka tidak merasakan kebaikan dan ni’mat yang ada pada sebuah perkahwinan. Jika tidak berkahwin, bagaimana mampu untuk tahu apakah hikmah yang tersirat dan bagaimana seorang wanita itu menjadi mampu untuk taat pada perintah-perintah tuhan dengan hukum yang dikatakan mereka sebagai berat sebelah. Apapun saya tidak menafikan memang terdapat penindasan pada wanita terutama pada penderaan psycologi dan penderaan fizikal. Namun ianya bukan berpunca dari akar hukum, tapi sikap manusia itu sendiri. Walaupun saya juga sebenarnya masih belum berkahwin. oleh kerana banyak turut serta dalam perbincangan-perbincangan sedikit sebanyak ianya telah memberi gambaran yang agak jelas berkaitan isu ini. Apapun terima kasih pada ustaz kerana banyak membantu”. Fateh menjadi bertambah kagum.

Seminggu selepas emel itu diterima, Fateh membalasnya. Mukaddimahnya dengan sepotong ucapan tahniah dan dorongan agar terus istiqamah dalam perjuangan yang dilalui. Diakhirnya setelah beristighfar dan berselawat menetap tekad Fateh seakan tanpa sedar menulis sebaris ayat “ Sebenarnya saya ada hajat yang hendak disampaikan. Saya Muhammad Fateh, seorang musafir di bumi Syam ingin menawarkan diri saya dengan ikhlas menjadi suami yang sah dan teman hidup dengan saudari. Tiada paksaan untuk menerima melainkan setelah bertanya pada Tuhan dan meletakkan keyakinan. Saya juga redho dengan jawapan yang akan diberikan. Moha-moga Allah memudahkan urusan saya dan saudari dan dikurnia keberkatan .


p/s: bersambung....atau anda boleh menyambung sendiri ceritanya. saya terdelete endingnya dan masih dalam proses mengingat. kalau sempat. Insya Allah.tq

No comments: